fb fb fb fb fb

Israel benarkan PBB bawa masuk lebih banyak kenderaan berperisai, peralatan perlindungan

Trak bantuan untuk Gaza di Al Arish, Mesir, 4 Julai 2024/ REUTERS

NEW YORK, 16 Julai- Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Isnin menyatakan bahawa pihaknya akan mula membawa lebih banyak kenderaan berperisai dan peralatan perlindungan peribadi bagi operasi-operasi bantuan kemanusiaannya di Semenanjung Gaza, selepas mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa Israel.

Kebenaran itu adalah sebagai respons kepada surat PBB yang dikirimkan kepada Israel pada bulan lalu mengenai keselamatan di Gaza, kata Timbalan Penyelaras Kemanusiaan bagi Wilayah Palestin yang Dikepung, Scott Anderson.

Undang-undang dan ketenteraman tidak lagi wujud di Semenanjung Gaza ketika perang antara Israel dengan Hamas memasuki bulan kesepuluh.

PBB mengadu tentang pelbagai halangan untuk membawa masuk bantuan ke Gaza.

Sehingga kini, trak-trak bantuan hanya boleh masuk selepas Israel memeriksa dan memberi kebenaran.

PBB turut mendakwa bahawa ia berdepan kesulitan untuk mengagihkan bantuan dengan tiada lagi wujudnya peraturan dan undang-undang di wilayah yang diduduki 2.3 juta orang itu ketika satu badan pemantau pada bulan lalu menyatakan bahawa Gaza berdepan dengan risiko kebuluran yang tinggi.

Anderson berkata PBB dijangka membawa masuk lebih banyak kenderaan berperisai dan peralatan perlindungan ke Gaza pada Selasa.

"Sebilangan peralatan perhubungan juga sudah dipertingkat," katanya kepada media sambil merujuk kepada peralatan seperti radio mudah alih.

Namun Anderson berkata permohonan PBB bagi akses internet yang stabil masih dibincangkan.

PBB menyatakan bahawa pihaknya menginginkan perhubungan yang tidak bergantung kepada menara telefon kerana ia tidak boleh dipercayai.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Israel mempunyai kebimbangan isu keselamatan tentang apa yang boleh dilakukan oleh Hamas jika ia mengakses perkhidmatan internet satelit.- REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI