fb fb fb fb fb

EU setuju tarik balik semua sekatan ekonomi ke atas Syria

Kaja Kallas / AFP

BRUSSELS, 21 Mei- Negara-negara Kesatuan Eropah (EU) bersetuju menarik balik semua sekatan ekonomi ke atas Syria.

Ia merupakan usaha membantu negara yang dilanda perang itu pulih selepas penggulingan kerajaan Bashar al-Assad.

“Hari ini, kami mengambil keputusan untuk menarik balik sekatan ekonomi kami ke atas Syria,” kata Diplomat tertinggi EU, Kaja Kallas menerusi laman X selepas mesyuarat Menteri Luar blok itu di Brussels.

“Kami mahu membantu membina semula Syria yang inklusif dan aman,” katanya.

Langkah EU itu dibuat selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan menamatkan semua sekatan terhadap Syria, minggu lalu.

Menurut Kallas, EU berhasrat mengenakan sekatan baharu terhadap individu yang bertanggungjawab mencetuskan ketegangan etnik berikutan serangan maut yang menyasarkan etnik minoriti, Alawit.

Sementara itu, Menteri Luar Syria, Asaad al-Shaibani menyifatkan keputusan EU menarik kembali sekatan ekonomi menunjukkan 'kehendak antarabangsa' untuk menyokong Damsyik.

Katanya, tindakan tersebut membolehkan rakyat Syria mempunyai peluang yang sangat penting dan bersejarah untuk membina semula negara mereka.

MOHAMAD KHAIRIE KHALID