fb fb fb fb fb

Menteri Pertanian Jepun letak jawatan selepas kontroversi kenyataan beras percuma

Foto-AFP

TOKYO, 21 Mei - Menteri Pertanian Jepun, Taku Eto, meletakkan jawatan selepas kenyataannya bahawa beliau tidak pernah membeli beras kerana mendapatkannya secara percuma mencetuskan kemarahan orang ramai.

Kenyataan itu timbul ketika Jepun berdepan kenaikan mendadak harga beras dan kekurangan bekalan akibat cuaca panas serta pembelian panik susulan amaran gempa bumi besar.

Eto memberitahu wartawan, beliau sudah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri Shigeru Ishiba, yang menerima peletakan jawatan itu.

Sebelum ini, Eto berkata beliau tidak pernah membeli beras kerana penyokongnya banyak menderma sehingga beliau boleh menjualnya.

Kenyataan itu dikritik hebat oleh pembangkang yang menganggapnya tidak wajar dan jauh daripada realiti rakyat.

Eto kemudian menarik balik kenyataannya, memohon maaf, dan mengakui mendapat teguran daripada isterinya.

Perdana Menteri Ishiba sebelum ini memberi amaran keras tetapi membenarkan Eto terus bertugas sebelum peletakan jawatan dibuat.-AFP

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN