BRUSSELS, 16 Disember – Menteri Luar Kesatuan Eropah (EU) menamatkan mesyuarat terakhir Majlis Hal Ehwal Luar bagi tahun ini tanpa mencapai sebarang persetujuan mengenai cadangan menggunakan aset Rusia yang dibekukan untuk menyediakan pinjaman kepada Ukraine.
Ia sekali gus meninggalkan isu itu belum diselesaikan menjelang perbincangan lanjut dalam Majlis Eropah hujung minggu ini.
Mesyuarat yang berlangsung di ibu pejabat EU di Brussels, Belgium, itu memberi tumpuan kepada konflik Russia–Ukraine serta perkembangan terkini di Asia Barat.
Antara isu utama yang dibincangkan ialah sama ada aset Rusia yang dibekukan di Belgium boleh digunakan untuk menyokong kewangan Ukraine, satu cadangan yang telah mendedahkan perpecahan ketara dalam kalangan negara anggota.
Itali, Malta dan Bulgaria menyuarakan bantahan secara jelas, manakala Hungary dan Slovakia menolak cadangan tersebut sepenuhnya.
"Rancangan EU untuk menggunakan aset Rusia yang dibekukan boleh dianggap sebagai provokasi perang, langkah itu berpotensi memanjangkan konflik dan bercanggah dengan kepentingan nasional Hungary," kata Menteri Luarnya, Peter Szijjarto.
Perdana Menteri baharu Republik Czech, Andrej Babis, pula menyatakan negaranya tidak bersedia menanggung risiko kewangan yang berkaitan dengan Belgium, di mana sebahagian besar aset tersebut ditempatkan.
Menurut laporan media Rusia, bank pusat negara itu telah memfailkan tuntutan mahkamah di Moscow, menuntut lebih 18 trilion rubel sebagai ganti rugi daripada Euroclear, depositori sekuriti terbesar di Eropah yang menyimpan sebahagian besar aset Rusia yang dibekukan.
Pemimpin EU dijangka membincangkan semula isu tersebut pada mesyuarat Khamis ini, termasuk cadangan menggunakan aset Rusia sebagai cagaran bagi “pinjaman pampasan” untuk menampung keperluan fiskal dan ketenteraan Ukraine bagi tempoh dua tahun akan datang.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Rusia, Maria Zakharova, menegaskan bahawa sebarang penggunaan aset kedaulatan tanpa persetujuan Rusia adalah tidak sah sama sekali dan merupakan pelanggaran serius undang-undang antarabangsa.-REUTERS