FOTO AFP
RIO DE JANEIRO, 9 Januari- Sekurang-kurangnya enam terbunuh dan 20 yang lain dilaporkan hilang susulan runtuhan tebing yang menghempap beberapa bot di sebuah tasik di Brazil, kata pihak berkuasa kelmarin.
"Setakat ini enam orang disahkan maut," kata jurucakap bomba Minas Gerias, Pedro Aihara dalam kenyataan.
Terdahulu, Komander Bomba Minas Gerais, Kolonel Edgard Estevo da Silva berkata sekurang-kurangnya 20 orang masih hilang, selain 32 orang cedera.
Estevo berkata, usaha pencarian dihentikan sementara pada waktu malam atas faktor keselamatan dan disambung semula pada waktu pagi.
Jelasnya, jumlah yang hilang dianggarkan berdasarkan 'maklumat saksi, agensi pelancongan dan saudara mara mereka'.
Sebuah video tersebar di media sosial, yang telah disahkan oleh pihak berkuasa Brazil, menunjukkan sekumpulan bot kecil bergerak perlahan berhampiran tebing batu di Tasik Furnas, apabila berlaku keretakan pada sebuah batu besar, sebelum ia jatuh menimpa bot.
Dalam video dikongsi, terdapat rakaman detik tepat apabila tebing itu jatuh ke atas tiga bot berkenaan yang mencetuskan panik dalam kalangan penumpang yang menyaksikan kejadian itu dari bot lain.
Satu lagi video di media sosial menunjukkan detik beberapa minit sebelum tebing itu runtuh, yang mana beberapa orang memberi amaran terdapat banyak batu yang jatuh dan menjerit kepada penumpang bot lain supaya menjauhi dinding tasik berkenaan.
Presiden Jair Bolsonaro turut memberi ulang ciap terhadap rakaman video berkenaan.
Tentera Laut Brazilentera laut Brazil, yang turut membantu dalam menyelamat berkata, pihaknya akan menyiasat punca kejadian itu.
Tasik Furnas, yang dipanggil "Laut Minas," merupakan tarikan pelancong popular di kawasan itu yang terletak kira-kira 420 kilometer di utara Sao Paulo.
Bomba berkata, hujan lebat dalam beberapa hari kebelakangan ini di tenggara Brazil mungkin menjadi antara faktor berlakunya runtuhan itu. - AFP