fb fb fb fb fb

Enam bulan di angkasa lepas, tiga angkasawan China kembali ke Bumi

(Kiri) Angkasawan Ye Guangfu, Wang Yaping dan Zhai Zhigang pada majlis berlepas sebelum pelancaran kapal angkasa Shenzhou-13
di Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di gurun Gobi pada 15 Oktober 2021/FOTO AFP)


BEIJING, 16 April - Tiga angkasawan China yang berlepas ke stesen angkasa baharu China selamat mendarat di bumi pada Sabtu, selepas 183 hari berada di angkasa lepas, menurut stesen penyiar China, CCTV.

Ia sekali gus menamatkan misi angkasa lepas paling lama di Beijing setakat ini.

Ketiga-tiga mereka menghabiskan masa selama enam bulan di angkasa Tiangong selepas dilancarkan dari pusat pelancaran Jiuquan di gurun Gobi, barat laut China, pada Oktober tahun lalu.

China merancang menjadi kuasa utama dalam penerokaan angkasa lepas menjelang 2030 dan Mei lalu menjadi negara kedua yang meletakkan rover peneroka di Marikh, dua tahun selepas mendaratkan kapal angkasa pertama di bulan.

Kapal angkasa Shenzhou-13 ialah misi terbaharu dalam usaha Beijing untuk menjadi kuasa besar angkasa lepas menyaingi AS.

Ia merupakan misi kedua daripada empat kru sepanjang 2021-2022 yang dihantar untuk memasang stesen angkasa tetap pertama negara itu iaitu Tiangong, yang bermaksud "istana syurga".

Tiangong dijangka beroperasi sekurang-kurangnya 10 tahun, dan ketiga-tiga angkasawan itu adalah kumpulan kedua yang tinggal di sana.


(Difahamkan, mereka akan menjalani latihan fizikal untuk menyesuaikan diri sekembalinya ke Bumi/FOTO CCTV
 )

Misi itu diketuai oleh bekas juruterbang tempur, Komander Zhai Zhigang, 55, yang melakukan penerokaan angkasa pada 2008.

Kru kedua ialah juruterbang tentera, Wang Yaping, 41, yang juga wanita pertama menjejakkan kaki di stesen angkasa terbabit, selepas muncul sebagai wanita China yang kedua berada di angkasa pada 2013.

Seorang lagi kru ialah juruterbang Tentera Pembebasan Rakyat, Ye Guangfu, 41.

Ketiga-tiga mereka telah menyelesaikan misi dengan menjalankan banyak eksperimen saintifik, menyediakan peralatan dan menguji teknologi untuk pembinaan masa depan semasa mereka berada di orbit.

Ia adalah misi pertama di China dalam tempoh hampir lima tahun. - AFP

Media Baharu