WASHINGTON, 10 Mac- Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memaklumkan pentadbirannya sedang berhubung dengan empat kumpulan berbeza mengenai penjualan platform media sosial milik China, TikTok dan semua pilihan yang ada adalah baik.
Nasib TikTok menjadi tanda tanya sejak undang-undang yang mengarahkan pemiliknya, ByteDance untuk menjual aplikasi tersebut atas alasan keselamatan negara atau berdepan larangan, dikuatkuasakan pada 19 Januari lalu.
Trump, yang memulakan tugasnya pada 20 Januari, telah menandatangani perintah eksekutif bagi menangguhkan penguatkuasaan undang-undang itu selama 75 hari.
Ketika ditanya sama ada perjanjian mengenai TikTok akan dimuktamadkan dalam masa terdekat, Trump berkata kepada wartawan di atas pesawat Air Force One, "mungkin."
"Kami sedang berurusan dengan empat kumpulan berbeza dan ramai yang berminat. Keempat-empatnya baik," tambahnya.
TikTok dan ByteDance tidak memberikan sebarang maklum balas segera kepada permintaan Reuters untuk komen di luar waktu operasi biasa.
Kekecohan mengenai TikTok turut menarik perhatian beberapa pembeli berpotensi, termasuk bekas pemilik Los Angeles Dodgers, Frank McCourt, yang berminat terhadap perniagaan yang pesat berkembang itu dan dianggarkan bernilai sehingga AS$50 bilion.- REUTERS