BEIJING, 11 Jun- Empat tenaga pengajar kolej Amerika Syarikat yang bekerja di China cedera dalam kejadian tikaman yang dilaporkan berlaku di taman awam, di Jilin.
Jabatan Negara AS dalam satu kenyataan memaklumkan, keempat-empat mangsa merupakan pensyarah dalam program pertukaran akademik dan bekerja sebagai pengajar di Kolej Cornell Iowa.
Kesemua mangsa dilaporkan mengalami kecederaan serius.
Ahli Kongres Iowa Ashley Hinson menerusi satu hantaran pada X, berkata dia terkejut dan menyifatkan kejadian tersebut sebagai mengerikan.
Gabenor Kim Reynolds berkata pihaknya berhubung dengan delegasi persekutuan Iowa dan Jabatan Negeri AS sebagai tindak balas terhadap serangan ngeri berkenaan.
"Tolong doakan agar mereka sembuh sepenuhnya, selamat kembali, dan keluarga mereka di sini di rumah," tambahnya.
Jurucakap Jabatan Negara AS berkata ia "mengetahui laporan mengenai insiden tikaman di Jilin, Republik Rakyat China".
Kejadian itu dipercayai berlaku pada Isnin.
Pihak berkuasa wilayah Jilin belum mengulas mengenai serangan berkenaan.
Sementara itu, wakil rakyat Iowa, Adam Zabner memberitahu abangnya adalah salah seorang mangsa.
“Abang saya, David Zabner, cedera di lengan semasa serangan tikaman ketika melawat sebuah kuil di Jilin City, China,” katanya.
Empat pensyarah itu difahamkan melawat sebuah kuil di Taman Beishan apabila mereka diserang oleh seorang lelaki dengan pisau.
Motif kejadian masih belum dikenal pasti.
Video mangsa terbaring di atas tanah berlumuran darah telah tersebar pada X pada Isnin.- REUTERS