fb fb fb fb fb

Empat pelarian Rohingya maut dalam kejadian tembak di kem pelarian

Foto Hiasan

COX'S BAZAR, 6 Disember - Empat pelarian Rohingya terbunuh dalam pertempuran antara dua kumpulan pemberontak di Bangladesh, kata polis hari ini, petunjuk terbaharu aspek keselamatan yang semakin merosot di kem-kem bantuan yang sesak di negara itu.

Bangladesh adalah rumah kepada kira-kira sejuta anggota minoriti tanpa kerakyatan dan kebanyakannya beragama Islam. Mereka melarikan diri daripada tindakan keras tentera di Myanmar yang kini tertakluk kepada siasatan pembunuhan beramai-ramai Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Berpuluh-puluh kem pelarian yang menempatkan pelarian Rohingya telah menjadi medan pertempuran antara kumpulan bersenjata yang telah menggunakan penempatan itu sebagai tempat pengedaran dadah dan penyeludupan manusia.

Ketua polis tempatan, Shamim Hossain memberitahu AFP bahawa satu tembakan selama sejam berlaku antara Tentera Penyelamat Arakan Rohingya (ARSA) dan Pertubuhan Solidariti Rohingya (RSO) pada malam Selasa.

“Empat pelarian Rohingya terbunuh dan dua lagi cedera parah,” katanya.

RSO telah mencabar ARSA yang lebih besar dan kuat untuk mengawal kem sejak awal tahun, serentak dengan tindakan keras terhadap ARSA oleh pasukan keselamatan Bangladesh.

Polis berkata lebih 60 pelarian Rohingya terbunuh dalam pertempuran di kem Bangladesh tahun ini, termasuk wanita dan kanak-kanak. -AFP.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN