fb fb fb fb fb

Empat pekerja hilang dalam insiden runtuhan bangunan di Madrid

FOTO REUTERS

MADRID, 7 Oktober - Sekurang-kurangnya empat pekerja binaan dilaporkan hilang selepas sebuah bangunan yang sedang diubah suai sebahagiannya runtuh di pusat bandar Madrid, menurut pihak berkuasa pada Selasa.

Timbalan Datuk Bandar Madrid, Inma Sanz, berkata tiga lelaki dan seorang wanita dilaporkan hilang oleh syarikat pembinaan yang mengendalikan projek tersebut.

“Tingkat atas bangunan itu runtuh dan jatuh ke bawah, menyebabkan timbunan runtuhan yang sangat banyak dan akan mengambil masa lama untuk dibersihkan.

"Bukan hanya beberapa jam, tetapi mungkin beberapa hari,” katanya kepada wartawan.

Polis dan pasukan bomba menggunakan dron serta anjing pengesan untuk mencari mangsa yang masih hilang di dalam bangunan yang terletak berhampiran rumah opera dan istana diraja ibu negara Sepanyol itu.

Menurut jurucakap perkhidmatan kecemasan, Beatriz Martin, dua orang cedera ringan manakala seorang lagi mengalami patah kaki dan di bawa ke hospital.

Beliau menambah, runtuhan separa bangunan lima tingkat itu berlaku di bahagian dalam, sementara bahagian hadapannya kekal kukuh.

Seorang pekerja binaan bernama Mikhail berkata, dia sedang mengepam konkrit ke tingkat bawah bangunan dan berada di luar ketika kejadian berlaku.

“Saya nampak awan debu besar dan terus berlari menyelamatkan diri. Saya orang pertama yang lari. Saya tak fikir apa-apa lagi. Saya selamatkan diri dulu, kalau boleh baru tolong orang lain,” katanya kepada wartawan.

Bangunan itu sedang diubah suai menjadi sebuah hotel oleh pemaju Rehbilita, menurut maklumat di laman sesawang syarikat berkenaan.

Syarikat Rehbilita bagaimanapun belum memberi sebarang maklum balas terhadap permintaan untuk komen. -REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD