fb fb fb fb fb

UNICEF: Bayi pramatang di Gaza kongsi oksigen akibat sekatan Israel

FOTO REUTERS

GAZA, 8 Oktober - Rejim Israel dilaporkan menolak permohonan untuk memindahkan inkubator dari sebuah hospital yang telah dikosongkan di utara Gaza, menurut agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF), pada Selasa.

Tindakan itu sekali gus menambah tekanan terhadap hospital-hospital di selatan Gaza yang kini sesak dan kekurangan peralatan penting untuk merawat bayi baru lahir.

Peperangan dua tahun antara Israel dan Hamas telah meningkatkan tekanan serta kekurangan zat makanan dalam kalangan ibu hamil, yang menyebabkan peningkatan kelahiran bayi pramatang dan kurang berat badan.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bayi dalam kategori itu kini mewakili satu perlima daripada jumlah keseluruhan kelahiran di Gaza.

Dalam tempoh kebelakangan ini, serangan berterusan Israel ke atas Bandar Gaza di utara menyebabkan beberapa hospital terpaksa ditutup, sekali gus meningkatkan kesesakan di hospital yang masih beroperasi di bahagian selatan wilayah berkenaan.

Jurucakap UNICEF, James Elder, menggambarkan situasi menyayat hati di Hospital Nasser, Gaza Selatan, di mana ibu dan bayi terpaksa berbaring di lantai koridor, manakala bayi pramatang pula berkongsi topeng oksigen dan katil.

“Kami telah cuba mendapatkan semula inkubator dari sebuah hospital yang telah dikosongkan di utara, tetapi empat misi kami telah ditolak hanya untuk membawa keluar inkubator tersebut,” katanya kepada Reuters melalui pautan video dari Gaza.

Beliau merujuk kepada peralatan yang kini terperangkap di Hospital Kanak-Kanak Al-Rantissi yang rosak di Bandar Gaza.

Elder turut berkongsi keadaan di sebuah hospital di selatan, di mana tiga bayi dan tiga ibu terpaksa berkongsi satu katil serta satu sumber oksigen.

“Para ibu bergilir-gilir memberi oksigen selama 20 minit kepada setiap bayi. Inilah tahap keputusasaan yang sedang dialami oleh para ibu sekarang,” katanya.

Bahagian koordinasi tentera Israel, COGAT, yang menguruskan aliran bantuan, belum memberi maklum balas terhadap kenyataan UNICEF itu.

Israel sebelum ini menegaskan bahawa pihaknya komited membenarkan penghantaran bantuan ke Gaza, namun perlu mengawal alirannya bagi mengelakkan ia “dicuri” oleh Hamas, yang dipersalahkan atas krisis kemanusiaan berlarutan di wilayah berkenaan.

Sementara itu, Pejabat Kemanusiaan PBB (OCHA) dalam laporan sama pada Selasa memaklumkan bahawa Israel telah menolak atau menghalang 45 peratus daripada 8,000 misi kemanusiaan yang dirancang di Gaza sejak 7 Oktober 2023.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD