fb fb fb fb fb

Empat maut dalam kemalangan kereta api di Republik Czech

FOTO REUTERS

PRAGUE, 6 Jun- Empat orang maut dan berpuluh-puluh lagi cedera apabila sebuah kereta api ekspres bertembung dengan sebuah kereta api barang di bandar Pardubice, Czech pada Rabu.

“Saya boleh mengesahkan bahawa empat orang mengalami kecederaan yang tidak serasi dengan kehidupan,” kata jurucakap kecemasan tempatan Alena Kisiala kepada penyiar Czech TV.

Kemalangan itu berlaku pada pukul 11 malam berhampiran stesen kereta api utama di Pardubice, kira-kira 100 kilometer (60 batu) di timur ibu negara Prague, lapor Czech TV.

Kereta api ekspres itu membawa lebih 300 penumpang, kebanyakannya warga asing, tambahnya.

Perdana Menteri Petr Fiala mengucapkan takziah di platform media sosial X, menyifatkan nahas itu adalah tragedi besar dan berkata "kita semua memikirkan mangsa dan yang cedera".

Sementara itu, Menteri dalam negeri dan menteri pengangkutan turut kelihatan tiba di lokasi sekitar pukul 1 pagi.

Menteri Dalam Negeri Vit Rakusan berkata majoriti mangsa mengalami cdedera ringan dan semua penumpang telah dipindahkan ke bangunan stesen kereta api.

Kereta api ekspres itu, yang dikendalikan oleh syarikat Regiojet swasta, sedang menuju ke bandar Chop di barat Ukraine berhampiran sempadan dengan Slovakia.

Jadual waktu menunjukkan kereta api meninggalkan Prague pada 7.52 petang Rabu sepatutnya tiba di Chop pada pukul 8.35 pagi Khamis selepas menyeberangi Slovakia.

Rakaman TV Czech menunjukkan sekurang-kurangnya satu gerabak tergelincir dan penumpang sedang dibawa masuk ke dalam bas berhampiran stesen utama Pardubice.

Pasukan penyelamat berkata, sembilan van ambulans, dua helikopter dan lebih 60 anggota bomba, baik profesional dan sukarela, telah dikerahkan.

"Kerja menyelamat adalah rumit kerana gerabak pertama musnah teruk. Itu menyukarkan petugas keselamatan untuk mengakses mangsa yang cedera," kata anggota bomba Pavel Ber kepada pemberita di lokasi.

Jurucakap bomba tempatan Vendula Horakova memberitahu TV Czech bahawa kereta api barang itu mengangkut kalsium karbida.

Siasatan mengenai punca kemalangan sedang dijalankan, kata Menteri Pengangkutan Martin Kupka.

Beliau menambah bahawa koridor kereta api utama yang menghubungkan Prague dengan bandar Czech kedua Brno dan bandar ketiga Ostrava akan ditutup sekurang-kurangnya beberapa jam.

Pada 1960, Pardubice pernah muncul sebagai lokasi kemalangan kereta api paling dahsyat di Czech apabila 118 orang maut dan kira-kira 100 orang cedera selepas dua kereta api penumpang bertembung.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE