ISLAMABAD, 14 November- Sekurang-kurangnya empat ditahan di Pakistan bagi membantu siasatan berhubung serangan bom berani mati yang mengorbankan 12 orang serta mengakibatkan 37 yang lain cedera.
Menurut pihak berkuasa tempatan, kesemua yang ditahan itu didakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan Taliban Pakistan dikenali sebagai Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP).
“Kumpulan itu berpangkalan di Afghanistan dan siasatan masih dijalankan. Lebih banyak tangkapan serta pendedahan dijangka berlaku," menurut kenyataan kerajaan itu, sambil menambah bahawa ketua kumpulan berkenaan beserta tiga lagi anggotanya kini berada dalam tahanan.
Serangan bom berani mati yang berlaku di luar bangunan mahkamah di Islamabad, Selasa lalu melibatkan warga Afghanistan. Perkara itu dimaklumkan Menteri Dalam Negeri, Mohsin Naqvi.
Tuduhan tersebut dibuat ketika hubungan antara Islamabad dan Kabul semakin merosot, dengan Pakistan menuduh militan berpangkalan di Afghanistan, khususnya TTP sebagai punca peningkatan serangan sejak Taliban kembali berkuasa pada 2021.
Bagaimanapun Kabul menafikan tuduhan itu.
Hubungan kedua-dua negara mencapai tahap paling rendah bulan lalu selepas beberapa siri serangan yang mencetuskan pertempuran rentas sempadan paling buruk dalam tempoh beberapa tahun, mengorbankan lebih 70 orang, termasuk puluhan orang awam Afghanistan, menurut Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB). -AFP