fb fb fb fb fb

15 lagi mayat rakyat Palestin diserah Israel

Sebahagian khemas yang menempatkan penduduk Gaza selepas rumah mereka musnah akibat peperangan /AFP

KHAN YUNIS, 14 November- 15 lagi mayat warga Palestin diserahkan Israel pada Jumaat sebagai sebahagian daripada perjanjian damai antara Hamas-Israel.

Pihak pengurusan Hospital Nasser di Gaza memaklumkan, kesemua mayat itu tiba di Kompleks Perubatan Nasser pada Jumaat menjadikan keseluruhan mayat diterima kini meningkat kepada 330.

Penyerahan 15 mayat itu dilakukan selepas Hamas memulangkan mayat tebusan Israel, Meny Godard, 73-tahun yang didakwa kononnya terkorban pada hari serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.

Sejak gencatan senjata dimeterai, 48 rakyat Israel telah dipulangkan Hamas termasuk 20 yang masih hidup.

Sebagai pertukaran, Israel telah membebaskan hampir 2,000 tahanan Palestin dan memulangkan ratusan mayat rakyat Palestin yang terkorban.

Israel juga menuduh Hamas sengaja melengahkan pemulangan mayat tebusan yang telah meninggal dunia, manakala pihak Palestin pula menyatakan proses tersebut lambat kerana ramai mayat masih tertimbus di bawah runtuhan Gaza selepas dua tahun peperangan. -AFP

SITI NOORAIN ABDULLAH