fb fb fb fb fb

57,000 pelarian tiba di wilayah utara Sudan selepas serangan RSF di Darfur, Kordofan

57,000 pelarian tiba di wilayah utara Sudan selepas serangan RSF di Darfur, Kordofan /AFP

ISTANBUL, 14 November- Kira-kira 57,000 orang tiba di bandar Al-Debba di Negeri Utara Sudan selepas melarikan diri dari wilayah Darfur dan Kordofan akibat serangan Rapid Support Forces (RSF), lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik suruhanjaya bantuan pada Jumaat.

Pesuruhjaya bantuan kemanusiaan yang dilantik kerajaan Sudan di Al-Debba, Kawther Jaafar berkata para pelarian menempuh perjalanan perit ketika melarikan diri daripada kekejaman dan pelanggaran hak asasi oleh kumpulan pemberontak.

Beliau berkata antara mereka yang tiba termasuk individu yang mengalami luka dan patah tulang, selain kanak-kanak yang mengalami kekurangan zat makanan.

Daripada jumlah keseluruhan itu, 50,000 pelarian datang dari bandar El-Fasher, termasuk 32,000 orang yang tiba di Al-Debba selepas bandar itu dikuasai RSF, katanya.

Konflik berdarah antara tentera Sudan dan RSF bermula pada April 2023 telah meragut ribuan nyawa dan memaksa jutaan penduduk meninggalkan rumah mereka. -BERNAMA-ANADOLU

SITI NOORAIN ABDULLAH