WASHINGTON, 14 November- Pentadbiran Amerika Syarikat mencapai rangka kerja perjanjian perdagangan dua hala dengan Argentina, Guatemala, El Salvador dan Ecuador, kata White House pada Khamis, lapor Xinhua.
Di bawah perjanjian itu, AS akan menghapuskan tarif timbal balas ke atas barangan tertentu yang tidak boleh ditanam, dilombong atau dihasilkan secara semula jadi di AS; dan keempat-empat negara itu bersetuju untuk bekerjasama dengan Washington atau membuka pasaran mereka dalam pelbagai bidang.
Menurut perjanjian berkenaan, Washington juga akan memansuhkan tarif timbal balas ke atas produk tekstil dan pakaian dari Guatemala dan El Salvador.
Selain itu, Argentina akan menyediakan akses pasaran keutamaan bagi eksport barangan AS, termasuk ubat-ubatan tertentu, bahan kimia, jentera, produk teknologi maklumat, peranti perubatan, kenderaan bermotor dan pelbagai jenis produk pertanian, menurut White House.
Namun, AS akan mengekalkan kadar tarif 10 peratus ke atas kebanyakan barangan dari Argentina, Guatemala dan El Salvador, serta 15 peratus ke atas kebanyakan barangan dari Ecuador, lapor media tempatan memetik pegawai kanan AS dalam satu taklimat.
White House menjangkakan perjanjian itu dimuktamadkan dalam beberapa minggu akan datang.
Tarif timbal balas yang dikenakan pentadbiran AS awal tahun ini telah meningkatkan tekanan inflasi beberapa bulan kebelakangan, dengan indeks harga pengguna AS pada September meningkat tiga peratus tahun ke tahun.
Penurunan atau pemansuhan tarif timbal balas ke atas barangan seperti pisang, kopi dan koko dijangka dapat mengurangkan tekanan inflasi di negara itu. -BERNAMA-XINHUA