BEIJING, 14 November - China membantah tindakan Amerika Syarikat (AS) yang meluluskan perjanjian bernilai AS$330 juta untuk menjual peralatan ketenteraan kepada Taiwan.
Jurucakap Kementerian Luar Lin Jian berkata penjualan senjata oleh AS kepada Taiwan secara serius melanggar prinsip ‘Satu China’.
“China amat tidak berpuas hati dan sangat membantah perkara itu.” kata beliau pada sidang media berkala di sini.
Amerika Syarikat meluluskan penjualan itu dalam bentuk alat ganti dan peralatan ketenteraan dalam jualan pertamanya kepada Taiwan sejak Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump kembali ke White House.
Washington merupakan pembekal senjata terbesar Taipei dan penghalang utama kepada kemungkinan serangan China terhadap negara itu.
Beijing mendakwa Taiwan sebagai sebahagian wilayahnya dan telah mengugut untuk menggunakan kekerasan bagi meletakkannya di bawah kawalan mereka.
“Ini merupakan pertama kali pentadbiran baharu Trump mengumumkan penjualan senjata kepada Taiwan,” kata kementerian luar itu, selepas Jabatan Negara AS meluluskan pakej berkenaan.
"Taiwan meminta komponen bukan standard, alat ganti dan alat pembaikan, bahan habis guna dan aksesori, serta sokongan pembaikan dan pemulangan untuk pesawat F-16, C-130 dan pesawat Tempur Pertahanan Asli (IDF),” menurut kenyataan yang disiarkan oleh Agensi Kerjasama Keselamatan Pertahanan AS.
Taiwan mempunyai industri pertahanannya sendiri, namun ketenteraan pulau itu jauh ketinggalan dalam sebarang konflik dengan China dan masih sangat bergantung pada senjata AS untuk mempertahankan diri. -AFP