(FOTO AFP)
FRANKFURT, 13 Oktober- Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dan ramai lagi cedera di wilayah Bavaria, tenggara Jerman selepas sebuah kenderaan disyaki membawa pendatang asing tanpa izin terlibat kemalangan ketika cuba mengelak sekatan jalan raya semalam, kata polis.
Kenderaan bernombor pendaftaran dari Austria itu dilapor membawa lebih 20 orang yang dalam perjalanan menuju ke arah Munich.
Jurucakap polis memaklumkan pemeriksaan identiti terhadap semua mangsa sedang dijalankan.
Hasil pemeriksaan awal mendapati kenderaan terbabit memecut laju untuk mengelak pemeriksaan jalan raya oleh sepasukan polis di kira-kira 50 kilometer dari sempadan antara Austria dan Jerman.
Ia kemudian mengambil susur keluar lebuh raya antara komuniti Ampfing dan Waldkraiburg sebelum hilang kawalan serta terbabas.
Sejak awal bulan ini, Jerman meningkatkan kawalan di sepanjang sempadan timurnya di tengah-tengah kebimbangan bahawa terlalu ramai pendatang cuba memasuki negara itu. -AFP
(FOTO AFP)