fb fb fb fb fb

Eksport senjata ke Israel mesti dihentikan segera- Pelapor Khas PBB

Pelapor Khas PBB, Francesca Albanese/REUTERS

RAMALLAH, 24 April– Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Francesca Albanese menekankan keperluan untuk menuntut Israel bertanggungjawab terhadap jenayah kejam yang dilakukan di Gaza.

Memetik laporan agensi berita Palestin, WAFA, beliau turut menggesa keperluan menghentikan eksport senjata ke Israel, serta-merta.

Katanya, situasi di Gaza tidak berubah, walaupun selepas Mahkamah Keadilan Antarabangsa mengeluarkan keputusan menghentikan pembunuhan beramai-ramai.

"Kengerian yang dialami oleh penduduk Gaza tidak dapat digambarkan dan keadaan semakin buruk di Tebing Barat juga.

"Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mesti memikul tanggungjawab kemanusiaan dan keselamatan untuk orang awam yang dipindahkan", katanya menerusi satu kenyataan.

Dalam pada itu, beliau menyeru keperluan untuk mengenakan sekatan terhadap Israel, gencatan senjata serta-merta dan memberikan perlindungan untuk rakyat Palestin.

Albanese menegaskan bahawa Israel masih menolak kemasukannya ke wilayah itu bagi menjalankan tugasnya.

ROSLINA BINTI DIN