fb fb fb fb fb

Eksport kimchi catat rekod tertinggi pada 2023 berikutan populariti k-kandungan global

FOTO REUTERS

SEOUL, 21 Januari - Eksport kimchi Korea Selatan mencatat rekod baharu pada 2023 seiring dengan peningkatan populariti kandungan hiburan Korea di seluruh dunia, menurut data yang diperoleh pada Ahad.

Penghantaran kimchi ke luar negara, hidangan sampingan tradisional Korea yang lazimnya dibuat daripada jeruk kubis, meningkat 7.1 peratus kepada 44,041 tan, menurut data Perkhidmatan Kastam Korea.

Angka terbaharu itu mengatasi rekod sebelum ini yang dicatatkan pada 2021, apabila jumlah eksport mencecah 42,544 tan.

Dari segi nilai, eksport kimchi mencecah US$155.6 juta pada 2023, meningkat 10.5 peratus tahun ke tahun.

"Eksport Kimchi mengalami lonjakan ketara tahun lepas, terutamanya disebabkan oleh peningkatan populariti K-kandungan," kata seorang pegawai kementerian pertanian Korea selatan, lapor Agensi Berita Yonhap.

Jepun merupakan destinasi utama untuk eksport kimchi tahun lepas, menyumbang 20,173 tan, diikuti oleh Amerika Syarikat dengan 10,660 tan dan Belanda dengan 1,756 tan.

Import kimchi Korea Selatan, sementara itu mencecah US$163.5 juta pada 2023, turun 3.4 peratus tahun ke tahun untuk melaporkan defisit perdagangan sebanyak $7.95 juta.

Negara itu mengimport kimchi, kebanyakannya dari China, disebabkan kos pengeluaran yang tinggi di pasaran domestik. - BERNAMA

TETITIA YUSOFF