fb fb fb fb fb

Eksklusif: Warga Malaysia berkongsi detik lima saat ketika tragedi gempa bumi Turkiye

(Nik Mohd Dhiya' Nik Mohd Roshdi, 34 tahun berkongsi pengalamannya melalui sebuah video di Facebook/FOTO Facebook Nik Mohd)

KUALA LUMPUR, 8 Februari - "Bangunan runtuh dalam masa 3 hingga ke 5 saat, orang ramai menjerit seakan dirasuk", kata Nik Mohd Dhiya' Nik Mohd Roshdi, 34 tahun seorang rakyat Malaysia yang terbabit dengan bencana gempa bumi di wilayah Snaliurfa, Turkiye pada Isnin lalu.

Pengalaman detik cemas itu dilalui oleh Nik Mohd bersama isterinya Merve Atas, 30 tahun yang terjaga daripada tidur pukul 4.30 waktu tempatan apabila televisyen di rumahnya terjatuh secara tiba-tiba susulan gempa bumi berskala 7.8 magnitud.

"Kami terdengar bunyi runtuhan selang beberapa bangunan dari rumah kami. Bunyi runtuhan itu sangat kuat macam kemalangan. Kami dalam keadaan panik, cuak dan menggeletar pada ketika itu. Tak tahu macam mana nak gambarkan situasi terbabit.

"Saya dan isteri menangis, kami terus bergegas ambil jaket, stokin, seluar, dan beg. Kami tidak boleh nak berfikir sangat sebab baru bangun daripada tidur," katanya ketika dihubungi RTM.

Nik Mohd Dhiya' berasal dari Kelantan menetap di negara itu sejak 5 tahun lalu selepas mendirikan rumah tangga pada tahun 2020 dengan seorang wanita tempatan yang bekerja dalam bidang kejuruteraan makanan.

(Nik Mohd Dhiya' Nik Mohd Roshdi bersama isterinya Merve Atas, 30 tahun berkahwin pada Jun 2020/FOTO Nik Mohd Dhiya')

Kini Nik Mohd dan isteri telah selamat berpindah ke rumah keluarga mentuanya di Sakarya iaitu lebih 1000 kilometer dari lokasi kejadian.

Kongsinya lagi, kedutaan Malaysia di Turkiye sentiasa mengemas kini keadaan mereka di sana dan dimaklumkan sehingga kini tiada rakyat Malaysia yang terkorban dalam tragedi tersebut.

"Kami ada group WhatsApp iaitu Respora Turki dengan rakyat Malaysia yang tinggal di sini. Kami juga berhubung dengan kedutaan Malaysia dan mereka menyimpan nombor telefon setiap ahli keluarga kami.

"Warga Malaysia ditempatkan di Timur Turkiye, berdekatan Iraq dan Syria. Semua selamat dan sempat melarikan diri dari tempat kejadian," kongsinya lagi.

Awal pagi Isnin, gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter melanda Kahramanmaras, diikuti gempa susulan 7.6 pada skala Richter kira-kira sembilan jam kemudian menggegarkan wilayah itu hingga menjejaskan beberapa wilayah lain termasuk Adana, Adiyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kilis, Malatya, Osmaniye dan Sanliurfa.

Gempa bumi turut dirasai di beberapa negara di rantau ini, termasuk Lubnan dan Syria.

Media Baharu