fb fb fb fb fb

Ekonomi India dijangka tumbuh 8.5%

NEW DELHI, 1 Februari - Ekonomi India diunjur berkembang antara 8% hingga 8.5% pada tahun fiskal 2022-2023, menurut laporan tahunan kerajaan pada Isnin.

Antara asas pertimbngan unjuran pertumbuhan bagi tahun kewangan April-Mac ialah "tiada lagi gangguan berkaitan pandemik yang boleh merencatkan ekonomi."

Jangkaan itu berdasarkan harga minyak mentah dalam julat AS$70-75 setong, bank-bank rizab utama dunia menarik balik kecairan secara teratur, monsun seperti biasa di India, dan jangkaan bahawa gangguan rantaian bekalan global akibat pandemik COVID-19 akan berkurangan.

Ini terkandung dalam Tinjauan Ekonomi 2021-2022 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Nirmala Sitharaman di parlimen menjelang belanjawan tahunan negara pada Selasa.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dianggarkan berkembang 9.2 peratus pada tahun fiskal semasa 2021-2022 berikutan penguncupan 7.3 peratus pada 2020-2021.

Tinjauan itu mengatakan meskipun terdapat gangguan yang berpunca daripada pandemik, imbangan pembayaran India kekal dalam lebihan sepanjang dua tahun lalu.

Ini membolehkan Bank Rizab India (RBI) terus mengumpul pertukaran asing.

Rizab pertukaran asing AS$634 bilion India pada akhir 2021 bersamaan dengan 13.2 bulan import dan lebih tinggi daripada hutang luar negara, katanya.

 

Media Baharu