QUITO, 19 Februari- Presiden Ecuador, Daniel Noboa, mendedahkan kartel dan geng jenayah menyeludup dadah, senjata serta barangan haram lain bernilai AS$30 bilion (RM143 bilion) melalui negaranya setiap tahun, jumlah yang hampir menyamai suku daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara itu.
Dalam satu wawancara bersama televisyen negara, Noboa, 37, yang merupakan anak kepada seorang jutawan pisang, mengakui jumlah itu menunjukkan betapa parahnya krisis keselamatan yang sedang melanda Ecuador.
“Itu jumlah yang sangat besar,” katanya, membandingkan nilai penyeludupan itu dengan keuntungan tahunan gergasi e-dagang, Amazon.
Perseteruan antara ketua-ketua kartel juga semakin sengit apabila mereka berebut laluan penyeludupan yang membawa kokain dari Colombia dan Peru ke pasaran di Eropah, Asia, dan Amerika Syarikat melalui pelabuhan Ecuador.
Ketika Noboa berdepan pilihan raya pusingan kedua pada April, pendekatan keras beliau dalam menangani jenayah menjadi isu utama dalam kalangan pengundi.
Dalam pusingan pertama pilihan raya, Noboa hanya menang tipis dengan 44.17 peratus undian berbanding pesaingnya, Luisa Gonzalez, yang meraih 43.97 peratus. Beliau juga tewas teruk di kawasan pantai yang paling terjejas dengan keganasan.
Biarpun darurat telah diisytiharkan dan tentera dikerahkan ke penjara serta jalan raya untuk membendung aktiviti geng, kadar jenayah di Ecuador melonjak semula pada awal tahun ini.
Hujung minggu lalu, berpuluh-puluh orang terbunuh di bandar terbesar Ecuador, Guayaquil, termasuk seorang kolonel pasukan khas yang dibunuh oleh pembunuh upahan kartel.
Susulan keganasan yang semakin meruncing, Noboa bertindak menggantikan Menteri Dalam Negeri negara itu.-AFP