fb fb fb fb fb

Duti tinggi AS paksa peniaga pakaian India cari pasaran baharu

Foto REUTERS

SURAT, 28 Ogos - Peniaga pakaian dari India kini giat mencari pasaran baharu selain Amerika Syarikat bagi mengurangkan kesan tarif import yang dikenakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang berkuat kuasa pada Rabu.

Tarif itu menyebabkan pakaian dari India hilang daya saing berbanding produk dari negara lain seperti Bangladesh dan Vietnam.

“Kami perlu mencari pasaran alternatif bagi meningkatkan perdagangan,” kata Setiausaha Pasar Tekstil Ashoka Tower, Rangnath Sharda.

India turut berdepan tarif tambahan 25 peratus susulan pembelian minyak dari Rusia, selain tarif sedia ada 25 peratus terhadap pelbagai produk. Langkah itu menjadikan jumlah duti mencecah 50 peratus bagi barangan termasuk pakaian, permata dan barang kemas, kasut, barangan sukan, perabot serta bahan kimia, antara yang tertinggi pernah dikenakan AS, setara dengan Brazil dan China.

Tarif terbaharu itu sekali gus mengancam ribuan pengeksport kecil serta peluang pekerjaan, termasuk di negeri asal Perdana Menteri Narendra Modi, Gujarat. - REUTERS

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE