fb fb fb fb fb

Duta Afrika Selatan ke AS dihalau, hubungan diplomatik semakin tegang

Duta Besar Afrika Selatan ke AS, Ebrahim Rasool

WASHINGTON, 15 Mac- Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio, pada Jumaat mengisytiharkan Duta Besar Afrika Selatan ke AS, Ebrahim Rasool, sebagai persona non grata, menuduhnya sebagai ahli politik yang memanipulasi isu perkauman dan membenci Amerika serta Presiden Donald Trump.

"Duta Besar Afrika Selatan ke Amerika Syarikat tidak lagi dialu-alukan di negara hebat ini," kata Rubio menerusi hantaran di platform media sosial X. "Kami tiada apa-apa untuk dibincangkan dengannya dan oleh itu beliau dianggap PERSONA NON GRATA," tambahnya.

Rasool sebelum ini telah menyerahkan surat tauliah kepada bekas Presiden Joe Biden pada 13 Januari, menandakan permulaan tempohnya sebagai duta, menurut laman web kedutaan Afrika Selatan, yang menyatakan bahawa ini adalah kali kedua beliau bertugas di Washington.

Jabatan Negara AS dan kedutaan Afrika Selatan di Washington belum memberikan sebarang komen segera berhubung perkara ini.

Hubungan antara Amerika Syarikat dan Afrika Selatan semakin tegang sejak Trump memotong bantuan kewangan AS kepada negara itu, dengan alasan tidak bersetuju dengan dasar tanahnya dan tindakan Afrika Selatan membawa kes genosid terhadap sekutu AS, Israel, ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa.

Trump sebelum ini mendakwa, tanpa mengemukakan bukti, bahawa Afrika Selatan sedang merampas tanah dan kelas tertentu dalam masyarakat dilayan dengan sangat buruk.

Jutawan kelahiran Afrika Selatan, Elon Musk, yang rapat dengan Trump, turut menyatakan bahawa warga kulit putih Afrika Selatan menjadi mangsa undang-undang pemilikan bersifat perkauman.

Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa, telah menandatangani satu rang undang-undang pada Januari bertujuan memudahkan kerajaan untuk merampas tanah demi kepentingan awam, dalam sesetengah kes tanpa pampasan kepada pemilik.

Beliau mempertahankan dasar itu dan menegaskan kerajaan tidak pernah merampas sebarang tanah. Dasar tersebut bertujuan untuk mengimbangi jurang pemilikan tanah berdasarkan kaum dalam negara majoriti kulit hitam itu, katanya.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE