fb fb fb fb fb

Dua rakyat Palestin terbunuh dalam serbuan terbaharu Israel di Tebing Barat

(Foto fail AFP)

NABLUS, 14 Oktober- Dua rakyat Palestin dilaporkan terbunuh semasa serbuan pasukan keselamatan rejim zionis Israel di bandar Jenin, kawasan Tebing Barat yang diduduki Israel.

Perkara itu dinyatakan Kementerian Kesihatan Palestin.

“Dua jasad mangsa tiba di Hospital Jenin,” menurut kementerian itu ketka pasukan tentera Israel mengumumkan operasi diteruskan di kem pelarian Jenin di bandar itu.

Pihak tentera Israel tidak memberi sebarang komen berhubung kematian itu ketika dihubungi wartawan agensi berita AFP.

Agensi berita rasmi Palestin, Wafa melaporkan tentera rejim menggunakan peluru hidup dan melepaskan tembakan ketika bertempur dengan penduduk Palestin di Kem Jenin.


(Penduduk Palestin mengusung mayat Nasim Fayed yang terbunuh ketika operasi
serbuan Israel di bandar Jenin pada 14 Oktober 2022/AFP)

Puluhan penduduk Palestin dilaporkan terbunuh dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini iaitu sejak operasi serbuan Israel yang dibuat hampir setiap hari di sekitar Tebing Barat.

Sabtu lalu, dua remaja Palestin mati ditembak ketika Israel melakukan serbuan di Jenin, sementara seorang kanak-kanak 12 tahun mati pada Isnin susulan kecederaan dialami sejak bulan lalu yang juga angkara tentera Israel.

Tentera zionis Israel memperluaskan operasi tentera di Jenin dan bahagian lain di Tebing Barat atas alasan serangan Palestian ke wilayah Israel pada awal tahun ini.

Israel memberi alasan mahu memburu penyerang yang menembak mati dua tenteranya dalam kejadian berasingan sepanjang minggu lalu.

Seorang tentera Israel didakwa dibunuh Selasa lalu berhampiran Nablus, dan pada Sabtu seorang lagi tentera dikatakan ditembak di pusat pemeriksaan timur Baitulmaqdis. -AFP

Media Baharu