fb fb fb fb fb

Dua pendatang maut sesak nafas dalam kereta api

(Petugas penyelamat dan polis berkumpul di sebelah kereta api yang membawa pendatang)

TEXAS, 25 Mac- Dua pendatang tanpa izin ditemukan maut di dalam kereta api barang manakala 10 yang lain yang memerlukan rawatan perubatan, dibawa dengan helikopter dan ambulans ke hospital pada Jumaat di selatan Texas, kata polis.

Pegawai di Uvlade, Texas, menerima panggilan kecemasan 911 melaporkan ramai pendatang sesak nafas di dalam kereta api, kata polis Uvalde dalam satu kenyataan.

Sekurang-kurangnya 15 pendatang memerlukan rawatan perubatan segera, kata polis.

Pegawai Peronda Sempadan A.S. telah dimaklumkan dan dapat menghentikan kereta api di sebelah timur Knippa, Texas, di Uvalde County.

Lebuhraya A.S. 90 ditutup buat sementara waktu untuk mendaratkan helikopter.

Penyiasat persekutuan sedang meneliti kemungkinan berlakunya penyeludupan manusia, kata penyiasat dengan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri A.S.

Ketua Polis Uvalde Daniel Rodriguez mengesyaki pendatang-pendatang tersebut mengalami dehidrasi akibat kepanasan kereta api semasa cuaca panas, lapor televisyen KSAT.

"Sangat menyedihkan apabila melihat begitu ramai pendatang tanpa izin ditemui dalam keadaan ini, dan dua daripada mereka kehilangan nyawa. Ia menyayat hati," kata Rodriguez.

Sementara itu, pihak Kereta api Union Pacific akan mengetuai siasatan.

Konsulat Mexico di Eagle Pass, Texas, berkata di Twitter ia menyedari kejadian itu dan kini sedang berhubung dengan pegawai AS untuk menentukan sama ada mana-mana mangsa adalah warga Mexico.

Keselamatan Dalam Negeri masih belum mengesahkan kewarganegaraan mangsa.

Knippa terletak kira-kira 72 batu (115 km) barat San Antonio dan kira-kira 120 batu (190 km) dari sempadan Mexico.

Ia berhampiran bandar Uvalde, yang menjadi lokasi kejadian tembakan beramai-ramai di sebuah sekolah rendah pada Mei tahun lalu yang mengorbankan 19 murid sekolah dan dua guru.

Tragedi itu berlaku berhampiran lokasi kejadian yang lebih teruk tahun lalu, apabila 53 pendatang ditemukan maut di dalam sebuah treler traktor di tengah-tengah panas terik semasa cubaan penyeludupan.

Berpuluh-puluh pendatang telah dimasukkan ke bahagian belakang sebuah trak yang ditemui di pinggir San Antonio pada 27 Jun.

Dua rakyat Amerika telah didakwa di mahkamah persekutuan dalam kes itu dan boleh menghadapi hukuman mati jika sabit kesalahan.

Dua warga Mexico juga telah didakwa. -REUTERS


(FOTO FB The Uvalde Leader-News)

Media Baharu