fb fb fb fb fb

Dua pekerja bantuan Oxfam terbunuh di Gaza

Tangkap layar hantaran X @oxfamjerusalem

ANKARA, 20 Oktober- Dua pekerja bantuan dari kumpulan bantuan British, Oxfam, terkorban dalam serangan udara Israel di Jabalia, utara Gaza, lapor Agensi Anadolu dengan memetik kenyataan kumpulan itu.

"Oxfam meratapi kehilangan tragis rakan kongsi kami di Juzoor, Dr Ahmad Al-Najar dan bidan Laila Jneid, yang terbunuh akibat serangan udara Israel di Jabalia," kata organisasi kemanusiaan itu dalam kenyataan di platform X lewat Sabtu.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua pekerja bantuan itu sedang menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk Gaza.

"Menyerang pekerja bantuan adalah satu jenayah perang," tegas Oxfam sambil memperbaharui seruannya untuk gencatan senjata segera di Gaza.

Tentera Israel meneruskan serangan besar-besaran yang kini memasuki hari ke-16 di utara Gaza di tengah-tengah sekatan ketat di kawasan berkenaan.

Serangan itu adalah operasi darat ketiga di Jabalia sejak bermulanya peperangan genosid Israel ke atas Gaza pada 7 Oktober 2023.

Israel terus melancarkan serangan kejam ke atas Gaza, walaupun terdapat resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang menyeru gencatan senjata segera.

Lebih 42,500 orang terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak dan lebih 99,600 lagi cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Serangan Israel telah memindahkan hampir seluruh penduduk Gaza di tengah-tengah sekatan berterusan yang menyebabkan kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang kritikal.

Israel kini menghadapi kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa atas tindakannya di Gaza. -BERNAMA-ANADOLU

SITI AISHAH MD ISA