fb fb fb fb fb

Dua maut, Taufan Michaung badai India

Penduduk dipindahkan menaiki bot berikutan taufan Michaung dan hujan lebat di Chennai/REUTERS

CHENNAI, 4 Disember- Sekurang-kurangnya dua orang maut dan landasan salah satu lapangan terbang tersibuk di India tenggelam akibat hujan lebat.

Ketika ini dua negeri di selatan India bersiap sedia untuk menghadapi taufan teruk yang mungkin melanda dalam tempoh 24 jam.

Taufan Michaung dijangka membadai di pantai negeri Andhra Pradesh di selatan India pada Selasa, kata pejabat cuaca negara itu, dengan angin berkelajuan 90-100 kilometer per jam selain laut bergelora hingga 110 kilometer per jam.

Menurut pengarah bersama jabatan pengurusan bencana negeri C. Muthukumaran, dua orang terbunuh apabila tembok runtuh berikutan hujan lebat di daerah Chengalpattu.

Di ibu kota Chennai kereta dihanyutkan apabila banjir mula melimpahi jalan-jalan. Operasi lapangan terbangnya terpaksa ditutup berikutan cuaca buruk.

Media menunjukkan gambar roda pesawat ditenggelami air di lapangan terbang.

Beberapa kawasan di bandar itu turut ditenggelami air setinggi paras lutut. Kejadian itu turut menggangu bekalan elektrik sejak pagi Isnin, kata seorang saksi kepada Reuters.

Pihak berkuasa di kedua-dua negeri berada dalam keadaan berjaga-jaga dan memindahkan beribu-ribu orang yang tinggal di kawasan pantai, kata pegawai di kedua-dua negeri.

Amaran turut dikeluarkan kepada nelayan supaya tidak keluar ke laut.

Kerajaan mengeluarkan nois kepada sekolah, kolej, pejabat dan bank supaya ditutup pada Isnin dan Selasa di empat daerah termasuk Chennai berikutan keadaan cuaca buruk.

Menurut pejabat cuaca India, sebahagian daripada Andhra Pradesh berkemungkinan mendapat lebih daripada 200 milimeter (8 inci) hujan dalam tempoh 24 jam akan datang

Pihak berkuasa telah memindahkan hampir 7,000 penduduk di lapan daerah pantai dan sedang bersiap untuk memindahkan sejumlah 28,000 lagi yang berada di Andhra Pradesh.

Namun perkara itu bergantung kepada laluan dan keadaan taufan yang melanda, kata seorang pegawai kanan di jabatan pengurusan bencana negeri.

Sekurang-kurangnya 800 individu dari Bapatla dipindahkan kerana taufan itu dijangka melanda kawasan tersebut.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI