fb fb fb fb fb

Dua maut, dua lagi hilang dalam runtuhan salji Gunung Shishapangma

(FOTO HIASAN)

BEIJING, 8 Oktober- Seorang pendaki dari Amerika dan pemandu arahnya warga Nepal terbunuh dalam runtuhan salji di Gunung Shishapangma di Tibet, barat daya China.

Dua lagi mangsa masih hilang manakala seorang mangsa dilaporkan cedera parah.

Gunung Shishapangma, adalah salah satu gunung tertinggi di dunia, berketinggian 8,027 meter (26,335 kaki) atas paras laut dan terletak sepenuhnya dalam wilayah China.

Kemalangan itu berlaku pada petang Sabtu "pada ketinggian antara 7,600 dan 8,000 meter", kata agensi berita negara China Xinhua, memetik Biro Sukan Tibet, yang mengesahkan jumlah korban.

Mingma David Sherpa dari Elite Exped, yang mengendalikan ekspedisi itu, memberitahu AFP bahawa Anna Gutu, seorang pendaki gunung Amerika, telah terbunuh.

“Kami menerima laporan bahawa Anna dan pemandu arahnya ditimpa runtuhan salji semalam, mayat mereka telah pun ditemui,” katanya.

"Ada pendaki lain juga hilang dan usaha menyelamat sedang dijalankan," katanya sambil menambah usaha menyelamat jadi rumit kerana helikopter tidak boleh digunakan di gunung itu disebabkan sekatan China.

Tashi Sherpa dari Seven Summit Treks mengenal pasti pendaki Amerika yang hilang sebagai Gina Marie Rzucidlo dan pemandunya sebagai Tenjin "Lama" Sherpa.

"Dua runtuhan salji berlaku di gunung itu semalam, menjejaskan beberapa pendaki. Ada yang cedera dan dua pendaki Amerika (Gina Marie Rzucidlo) dan pemandu kami Tenjin, hilang," katanya.

"Usaha pencarian sedang dijalankan."

Kedua-dua wanita itu dalam perlumbaan untuk menjadi wanita Amerika pertama yang mendaki kesemua 14 puncak melebihi 8,000 meter, menurut akhbar Nepal berbahasa Inggeris The Himalayan Times.

Semua aktiviti mendaki gunung telah digantung di Gunung Shishapangma, kata Xinhua.-AFP


(Gunung Shishapangma)

Media Baharu