fb fb fb fb fb

Masyarakat dunia diseru beri sokongan kepada Palestin

(FOTO AFP)

KUALA LUMPUR, 8 Oktober- Seluruh masyarakat dunia diseru untuk memberikan sokongan dan pertolongan kepada rakyat Palestin bagi mendapatkan hak untuk kembali ke tanah air mereka.

Menurut Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu apa sahaja jalan dipilih rakyat Palestin yang teraniaya berpunca daripada tanah air dan harta benda mereka dirampas secara haram oleh rejim Israel.

Jelasnya menerusi hantaran di laman Facebook, dunia tidak boleh beralih fokus kepada isu-isu lain termasuk dakwaan tindakan ganas pejuang-pejuang Palestin, tanpa melihat kepada faktor utama kekacauan yang tidak pernah diselesaikan.

Semua pihak perlu lebih tegas mendesak dan menghalang Israel meluaskan petempatan haram mereka dan kembalikan hak rakyat Palestin untuk pulang ke tanah air mereka.

Jelasnya lagi walaupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan Resolusi 2334 pada 2016, yang mendakwa Israel melanggar undang-undang antarabangsa dengan membuka 293 petempatan haram di tanah milik rakyat Palestin, masih tiada sebarang tindakan dikenakan terhadap negara tersebut.

Tambahnya Israel masih meneruskan tindakan ganas dengan merampas tanah rakyat Palestin seperti meroboh rumah dan mengenakan tindakan ganas membunuh serta mencederakan penduduk yang cuba mempertahankan harta benda mereka.


(Datuk Seri Mohamad Sabu)

Media Baharu