fb fb fb fb fb

Dua lelaki ditahan susulan letupan bom di festival sempadan Myanmar

Letupan berlaku ketika tarian festival sedang berlangsung yang dihadiri kira-kira 8,000-9,000 orang pada malam Jumaat/Foto orang awam

BANGKOK, 14 Disember - Dua lelaki ditahan oleh pihak berkuasa Thailand susulan letupan bom buatan sendiri di sebuah festival di daerah Umphang, wilayah Tak, yang mengorbankan tiga nyawa dan mencederakan 48 orang.

Letupan berlaku ketika tarian festival sedang berlangsung yang dihadiri kira-kira 8,000-9,000 orang pada malam Jumaat.

Dua mangsa maut di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia di hospital.

Polis menahan seorang pemuda Thai dan seorang lelaki yang didakwa ahli Kesatuan Nasional Karen (KNU), kumpulan pemberontak etnik dari Myanmar yang telah lama berjuang untuk autonomi di negeri Karen.

Menurut Ketua Polis Tak, Mejar Jeneral Samrit Ekamol, suspek dari Myanmar dipercayai melemparkan bom selepas bersemuka dengan "geng saingan" yang pernah berselisih dengannya.

Seorang pegawai kanan KNU, yang enggan dinamakan, menafikan penglibatan kumpulan itu dan menyatakan bahawa mereka tidak mempunyai anggota di kawasan berkenaan.

Dalam kenyataan di Facebook, KNU mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan menegaskan mereka tidak menerima sebarang tindakan keganasan seperti itu.

Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra turut menyampaikan ucapan takziah kepada mangsa dan menggesa siasatan menyeluruh. - AFP

BERITA BERKAITAN

GRACE AISYAH KEDAYAN