fb fb fb fb fb

Dua kenderaan UNICEF ditembak di Gaza

FOTO FAIL/REUTERS

ANKARA, 24 Julai - Dua kenderaan milik Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) ditembak di Semenanjung Gaza pada Selasa, lapor Agensi Anadolu.

"Dua kenderaan UNICEF yang jelas ditanda dengan lambang pertubuhan itu ditembak peluru hidup hari ini ketika menanti di tempat yang ditetapkan berhampiran pusat pemeriksaan Wadi Gaza," kata Pengarah Serantau UNICEF untuk Timur Tengah dan Afrika Utara, Adele Khodr di platform X.

Kenderaan terbabit "dalam perjalanan untuk menyatukan semula lima kanak-kanak, termasuk seorang bayi dengan bapa mereka," katanya sambil mendedahkan bahawa satu daripada kenderaan terkena tiga tembakan.

Tiada kecederaan dilaporkan.

"Pasukan berjaya meneruskan misi dan menghantar kanak-kanak itu dengan selamat," kata pegawai PBB itu.

Beliau mengesahkan bahawa ini adalah insiden kedua yang melibatkan kenderaan UNICEF dalam misi kemanusiaan di Gaza dalam tempoh 12 minggu lalu.

Israel menghadapi kecaman antarabangsa di tengah-tengah serangan kejam yang berterusan di Gaza sejak 7 Oktober.

Lebih 39,000 rakyat Palestin terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak dan hampir 90,000 cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan. - BERNAMA

TETITIA YUSOFF