BANGKOK, 23 Januari- Sebelas orang termasuk dua kanak-kanak maut terbakar dalam nahas jalan raya melibatkan sebuah van penumpang.
Kolonel Polis, Yingyos Poldej berkata, van yang membawa 12 orang itu dalam perjalanan dari timur laut wilayah Amnat Charoen ke Bangkok sebelum terbabas dari lebuh raya di wilayah Nakhon Ratchasima pada malam Sabtu.
Yingyos memaklumkan, seorang pelajar lelaki terselamat setelah berjaya memanjat tingkap van berkenaan, namun penumpang lain terperangkap dan mati dalam kebakaran.
(Keadaan van selepas terbakar akibat nahas jalan raya di sini / Foto AFP)
Mangsa yang terselamat, Thanachit Kingkaew, 20 tahun, berkata, dia sedang tidur ketika kejadian dan tersedar selepas mendengar seseorang menjerit.
"Saya tersedar dan perkara seterusnya yang saya tahu, van itu terbalik, saya tidak nampak apa yang berlaku. Selepas kemalangan itu, api mula menyambar keseluruhan van bermula dari belakang.
Saya mula menendang tingkap dan berjaya merangkak melalui lubang kecil, tidak lama selepas itu, van meletup," katanya.
Pihak berkuasa memaklumkan van itu menggunakan bahan api dan gas mampat tetapi laporan awal mendapati tangki minyak itu tidak bocor.-AFP