fb fb fb fb fb

DOJ desak Mahkamah Agung tolak permintaan Trump tangguh larangan TikTok

Foto Reuters

WASHINGTON, 4 Januari - Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat memohon kepada Mahkamah Agung untuk menolak permintaan Presiden Pilihan Donald Trump yang meminta pelaksanaan undang-undang, melarang aplikasi media sosial TikTok atau memaksa penjualannya pada 19 Januari ditangguhkan.

Trump memfailkan dokumen undang-undang minggu lalu, berhujah bahawa beliau memerlukan masa selepas memegang jawatan pada 20 Januari untuk mencari penyelesaian politik terhadap isu tersebut.

Mahkamah dijadualkan mendengar hujah pada 10 Januari.

Undang-undang yang diluluskan pada April mewajibkan pemilik TikTok dari China, ByteDance, untuk melupuskan aset platform tersebut di Amerika Syarikat atau berdepan larangan. TikTok belum memberi sebarang komen.

DOJ menyatakan bahawa permintaan Trump hanya boleh dipertimbangkan jika ByteDance berjaya membuktikan kemungkinan besar untuk menang dalam kes tersebut, namun syarikat itu gagal berbuat demikian.

Kerajaan AS menegaskan bahawa China melalui TikTok berpotensi mengancam keselamatan negara, dengan pengumpulan data sensitif mengenai 170 juta rakyat Amerika.

Peguam Trump, D. John Sauer, menulis bahawa presiden pilihan memohon mahkamah menangguhkan tarikh akhir pelupusan undang-undang untuk memberi ruang kepada pentadbiran baharu Trump mencari penyelesaian politik.

TikTok pula memohon kepada Mahkamah Agung untuk menyekat undang-undang tersebut atas alasan kebebasan bersuara berdasarkan Pindaan Pertama Perlembagaan AS.

TikTok berpendapat undang-undang itu menyasarkan aplikasi mereka kerana kandungan media sosialnya, bukan data.

Jika undang-undang tidak disekat sebelum 19 Januari, muat turun baharu TikTok dari gedung aplikasi Apple atau Google akan dilarang, namun pengguna sedia ada masih boleh mengakses aplikasi tersebut.

Perkhidmatan TikTok dijangka merosot apabila sokongan dihentikan.

Presiden Joe Biden boleh melanjutkan tarikh akhir sebanyak 90 hari jika beliau mengesahkan ByteDance membuat kemajuan ke arah pelupusan.

Sokongan Trump terhadap TikTok ini merupakan perubahan pendirian berbanding pada 2020, ketika beliau cuba menyekat aplikasi itu di AS dan memaksanya dijual kerana pemilikannya oleh China.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN