FOTO AFP
BELANDA, 17 Februari - Belanda umum akan tarik balik hampir kesemua sekatan COVID-19.
Ia sekali gus menjadi negara Eropah yang pertama akan memansuhkan penggunaan pas kesihatan vaksin menjelang 25 Februari depan.
Belanda kini menyertai sebilangan negara lain termasuk Denmark dan Norway yang memansuhkan kebanyakan sekatan COVID-19.
Menteri Kesihatan, Ernst Kuipers berkata pub, restoran dan kelab malam akan kembali kepada waktu operasi seperti sebelum pandemik.
Penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan di kebanyakan tempat.
Manakala tempoh kuarantin mereka yang disahkan positif COVID-19 disingkatkan kepada hanya lima hari.
Disember lalu, Belanda mengenakan sekatan antara yang paling ketat di Eropah bagi mengekang lonjakan jangkitan varian Omicron.
Belanda yang mempunyai jumlah populasi 17 juta penduduk, merekodkan 482,695 kes positif COVID-19 pada minggu lalu, menurun 22 peratus berbanding minggu sebelum itu.
Arahan sebelum ini yang mengehadkan jumlah tetamu dibenarkan hadir di rumah, akan dimansuhkan secepat mungkin.
Bagaimanapun orang ramai masih perlu menjalani ujian saringan COVID-19 bagi menghadiri majlis membabitkan lebih 500 orang.
Berkuat kuasa 25 Februari ini amalan penjarakan fizikal 1.5 meter serta pemakaian pelitup muka akan tetap digalakkan tanpa diwajibkan. - AFP