fb fb fb fb fb

Denmark teruskan usaha kembali kepada kehidupan prapandemik

COPENHAGEN, 1 Februari - Denmark menjadi anggota Kesatuan Eropah (EU) pertama menarik balik semua sekatan pergerakan di sebalik peningkatan kes jangkitan COVID-19 varian Omicron.

Ini percubaan kedua selepas cubaan pertama pada September hingga November tahun lepas ditangguh sementara.

Bermula Selasa, tiada lagi arahan memakai pelitup muka, pas vaksin atau pengehadan waktu beroperasi restoran dan bar dikuatkuasakan.

Negara Scandinavia itu sebaliknya cuma bergantung pada kadar vaksinasi yang tinggi untuk berdepan ancaman Omicron.

"Kita mempunyai liputan dos penggalak yang amat tinggi dalam kalangan penduduk dewasa.

"Memandangkan Omicron bukan jangkitan teruk, kami percaya langkah menarik balik sekatan adalah munasabah," kata Pakar Epidemiologi University of Roskilde, Lone Simonsen.

"Selepas dua tahun menempuh fasa pandemik, populasi di kebanyakan negara telah mencapai paras imuniti yang tinggi menerusi vaksinasi atau jangkitan semulajadi.

"Berdasarkan apa yang telah kita saksikan dalam sejarah pandemik yang sudah-sudah, beginilah ia berakhir," tambahnya.

Denmark ketika ini mencatatkan 40,000 hingga 50,000 kes harian iaitu hampir satu peratus daripada 5.8 juta penduduk.

Dalam masa sama, lebih 60 peratus populasinya telah menerima dos penggalak, sebulan lebih awal berbanding sasaran.

Secara perbandingan, purata liputan dos penggalak negara-negara EU belum mencecah 45 peratus.

Pihak Berkuasa Kesihatan Denmark ketika ini mengesyorkan mereka yang diuji positif agar menjalani kuarantin kendiri selama empat hari manakala kontak rapat tidak perlu lagi dikuarantin.

Hanya sedikit kawalan pergerakan masih dikuatkuasakan di kawasan sempadan terhadap pengunjung dari negara-negara bukan Schengen yang belum menerima vaksin.

Sementara itu Naib Presiden Staten Serum Institut (SSI), Tyra Krause berpendapat COVID-19 akan terus berada dalam masyarakat seperti influenza atau flu biasa.

Oleh itu vaksinasi mungkin perlu lebih ditumpukan kepada kumpulan berisiko sahaja.

 

Media Baharu