FOTO AFP
COPENHAGEN, 2 Februari - Denmark menjadi negara Kesatuan Eropah (EU) pertama membatalkan kebanyakan sekatan yang dibuat untuk memerangi COVID-19, mulai SEMALAM.
Denmark tidak lagi menganggap pandemik berkenaan sebagai 'penyakit kritikal sosial' kerana ia tidak membebankan sistem kesihatan, selain negara itu mempunyai kadar vaksinasi yang tinggi.
Perdana Menteri, Mette Frederiksen berkata, adalah terlalu awal untuk mengetahui sama ada langkah sekatan itu mungkin perlu dilakukan semula.
Negara dengan jumlah penduduk kira-kira 5.8 juta ini, merekodkan purata lebih daripada 50,000 kes harian sejak beberapa bulan lalu.
Manakala bilangan pesakit yang dimasukkan ke wad unit rawatan rapi (ICU) hospital, menurun.
"Pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan ketika menggunakan pengangkutan awam, di kedai dan untuk pelanggan tetap dalam restoran.
"Pihak berkuasa hanya mengesyorkan penggunaan pelitup muka di hospital, pusat jagaan dan sebagai kemudahan penjagaan kesihatan," katanya ketika temubual bersama radio Denmark.
Sekatan lain yang turut dihapuskan termasuk peraturan mewajibkan penggunaan sijil digital untuk memasuki kelab malam, acara parti dan menikmati makanan di dalam restoran. -AFP