fb fb fb fb fb

Dengan 'peralatan yang betul', Ukraine boleh kalahkan Rusia - AS

(FOTO AFP)

KIEV, 25 April - Amerika Syarikat percaya Ukraine boleh memenangi perang menentang Rusia jika ia mempunyai "peralatan yang betul", kata Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin selepas lawatan penting ke Kiev bersama Setiausaha Negara, Antony Blinken.

Lawatan itu dibuat ketika perang memasuki bulan ketiga, dengan beribu-ribu orang mati dan berjuta-juta kehilangan tempat tinggal.

(Lloyd Austin dan Antony Blinken, bercakap dengan wartawan di Poland, selepas pulang dari Kiev, Ukraine/AP)

Konflik berkenaan menyaksikan negara-negara Barat menyalur bantuan bekalan senjata ke Ukraine.

"Langkah pertama untuk menang ialah percaya bahawa anda boleh menang. Jadi mereka percaya Ukraine boleh menang," kata Austin kepada sekumpulan wartawan selepas beliau dan Blinken bertemu Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky.

"Kami percaya bahawa kita boleh menang, Ukraine boleh menang jika mereka mempunyai peralatan yang betul, sokongan yang betul."

Austin seterusnya berkata bahawa AS berharap tentera Rusia akan keletihan di Ukraine, menghalangnya daripada melancarkan pencerobohan selanjutnya pada masa hadapan.

"Kami mahu melihat Rusia menjadi lemah sehingga ia tidak dapat melakukan perkara seperti yang telah dilakukannya dalam menceroboh Ukraine," kata Austin.

Selama berbulan-bulan, Zelensky telah meminta senjata berat termasuk meriam dan jet pejuang dari negara barat.

Beliau mendakwa tenteranya boleh mengubah arus perang dengan lebih banyak kuasa tembak. -AFP

Media Baharu