fb fb fb fb fb

Demam denggi, ancaman utama di selatan AS, Eropah dan Afrika dekad ini - WHO

(FOTO REUTERS)

LONDON, 6 Oktober – Demam denggi akan menjadi ancaman utama di selatan Amerika Syarikat (AS), selatan Eropah dan bahagian baharu Afrika dekad ini, kata ketua saintis WHO.

Ini kerana suhu yang lebih panas membolehkan nyamuk yang membawa jangkitan merebak.

Penyakit itu telah lama ditakuti di kebanyakan negara Asia dan Amerika Latin dan dianggarkan sebanyak 20,000 kematian telah direkodkan setiap tahun.

Kadar penyakit itu telah meningkat lapan kali ganda di seluruh dunia sejak tahun 2000, didorong sebahagian besarnya oleh perubahan iklim serta peningkatan pergerakan manusia dan urbanisasi.

(FOTO REUTERS)

Kebanyakan kes yang berlaku tidak direkodkan, namun pada 2022, 4.2 juta kes dilaporkan di seluruh dunia dan pegawai kesihatan awam telah memberi amaran bahawa tahap penularan hampir melepasi rekod tahun ini.

Bangladesh kini sedang mengalami wabak yang paling teruk, dengan lebih 1,000 kematian direkodkan.

"Kita perlu bercakap lebih proaktif tentang denggi," kata Jeremy Farrar, pakar penyakit berjangkit yang menyertai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Mei tahun ini, kepada Reuters.

“Negara perlu bersedia bagaimana untuk menangani tekanan tambahan yang akan datang pada masa hadapan terutamanya di bandar-bandar besar," katanya.

Farrar berkata jangkitan itu mungkin merebak dan menjadi endemik di bahagian Amerika Syarikat, Eropah dan Afrika di semua wilayah di mana terdapat beberapa penularan tempatan yang terhad dan itu akan memberi tekanan yang tinggi  pada sistem hospital di kebanyakan negara.

"Penjagaan klinikal ini benar-benar intensif, ia memerlukan nisbah jururawat yang tinggi kepada pesakit," katanya. "Saya sangat bimbang apabila ini menjadi isu besar di sub-Sahara Afrika."

Menyediakan wilayah baharu untuk menangani denggi bermakna memastikan bahawa sebarang dana kesihatan awam dibelanjakan di kawasan yang betul, kata Farrar, termasuk cara terbaik untuk mengawal nyamuk.

Farrar berkata pencegahan yang sewajarnya akan merangkumi perancangan untuk hospital serta inovasi saintifik bersama faktor utama lain, seperti perancangan bandar, untuk mengelakkan kawasan genangan air berhampiran atau di dalam rumah.

“Kita perlu menggabungkan pelbagai sektor yang tidak biasa bekerjasama,” katanya.-REUTERS

Media Baharu