SINGAPURA, 25 Julai- Data peribadi kira-kira 128,000 pelanggan daripada 12 pemberi pinjam wang berlesen (LML) di Singapura dicuri selepas sistem vendor IT pihak ketiga yang mereka gunakan digodam.
Kementerian Undang-Undang (MinLaw) memaklumkan sistem Ezynetic Pte Ltd (Ezynetic) yang tidak dihoskan atau dihubungkan dengan rangkaian Kerajaan, telah diakses dan data yang mengandungi maklumat peribadi pelanggan telah bocor.
Kesemua 12 LML dan Ezynetic telah membuat laporan kepada pihak polis, Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA) dan Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi (PDPC).
Mereka juga memaklumkan peminjam mengenai pelanggaran itu dan meminta mereka untuk berwaspada terhadap penipuan pancingan data (phishing).
Pemberi pinjam wang yang terjejas ialah Ban King Credit (S) Pte Ltd, Credit 21 Pte Ltd, Lending Bee Pte Ltd, Katong Credit Pte Ltd, Credit Thirty3 Pte Ltd, GS Credit Pte Ltd, 1AP Capital Pte Ltd, Creditmaster Pte Ltd, BST Credit Pte Ltd, U Credit (Pte) Ltd, Horison Credit Pte Ltd, dan Credit Matters Pte Ltd.
Bagaimanapun, data lapan LML lain yang menggunakan perkhidmatan Ezynetic tidak terjejas.
Kementerian sedang menyiasat perkara ini bersama CSA dan PDPC, serta berhubung dengan Biro Kredit Singapura (CBS) untuk menyokong usaha pemulihan perniagaan LML yang terjejas.
Bagi mengekang kejadian sama, CBS telah mengehadkan akses ke platform untuk semua 20 LML yang disediakan oleh Ezynetic.
Fungsi dalam talian MLCB masih boleh diakses sepenuhnya oleh 133 LML lain di Singapura. - BERNAMA