fb fb fb fb fb

Darurat diisytihar, bantahan vaksin COVID-19 jadi ancaman serius penduduk

FOTO AFP

MONTREAL, 7 Februari- Darurat diisytihar di pusat bandar Kanada pada Ahad apabila bantahan pemandu trak terhadap keperluan vaksinasi COVID-19 untuk golongan itu merentas sempadan menjadi tidak terkawal.

Datuk Bandar Ottawa, Jim Watson menerusi kenyataan memaklumkan, darurat dilaksana selepas demonstrasi besar-besaran itu memberi ancaman serius kepada keselamatan penduduk.

"Kita memerlukan sokongan daripada bidang kuasa lain dan pelbagai peringkat kerajaan.

Keadaan benar-benar di luar kawalan, jumlah penunjuk perasaan jauh lebih ramai berbanding anggota dan pegawai polis," katanya.

Penduduk tempatan mengadu setelah hon dan siren dibunyikan tanpa henti, selain diganggu oleh penunjuk perasaan.

Semalam polis telah mengumumkan langkah baharu bagi menghalang orang ramai membantu penunjuk perasaan di lokasi demonstrasi.

Polis akan menyekat sesiapa yang cuba membawa masuk tong minyak bagi kegunaan ratusan trak besar yang menghalang kebanyakan jalan sehingga melumpuhkan pusat bandar Ottawa sejak sembilan hari lalu.

Demonstrasi bermula dengan bantahan pemandu lori terhadap keperluan vaksinasi untuk merentasi sempadan Kanada-Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun, ia telah bertukar menjadi protes yang lebih besar terhadap sekatan kesihatan COVID-19 dan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Justin Trudeau. -AFP

Media Baharu