fb fb fb fb fb

Presiden baharu Honduras disahkan positif COVID-19


TEGUCIGALPA, 7 Februari- Xiomara Castro, yang baru mengangkat sumpah jawatan sebagai Presiden Honduras penghujung bulan lalu, mengesahkan dirinya dijangkiti COVID-19.

Castro berkata, walaupun disahkan positif COVID-19, beliau tetap akan menjalankan tugas rasmi semasa menjalani rawatan dan kuarantin.

“Keputusan (ujian) PCR semalam (Sabtu) negatif, tetapi hari ini (Ahad) positif,” kata Castro dalam akaun Twitternya.

"Berdasarkan ujian itu tahap jangkitan saya adalah ringan. Namun, saya sentiasa memohon perlindungan tuhan serta rahmat dari pencipta alam semesta agar diberi kesembuhan dan kesihatan yang baik.

"Saya akan terus menjalankan tugas dengan ikrar untuk mereformasikan negara yang dilanda jenayah dan kemiskinan ini menjadi sebuah negara sosialis dan demokratik," katanya.

Presiden wanita itu juga mengesahkan beliau dan suaminya Manuel Zelaya, sudah mengambil suntikan vaksin.

Beliau menjadi Presiden pertama daripada kalangan wanita memegang jawatan tersebut selepas memenangi pilihan raya Presiden yang mewakili Parti Libre pada November tahun lalu.

Castro, 62, yang juga pemimpin parti itu menang pilihan raya selepas menewaskan pencabar terdekatnya, Nasry Asfura iaitu Datuk Bandar Tegucigalpa daripada Parti Kebangsaan.

Majlis angkat sumpah jawatan itu dilakukan di hadapan Hakim Carla Romero di hadapan 29,000 orang di sebuah stadium di Tegucigalpa.

Tetamu yang menyaksikan majlis angkat sumpah itu ialah Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Kamala Harris, Raja Felipe VI dari Sepanyol dan Naib Presiden Taiwan, William Lai

AFP melaporkan lebih 40,000 orang di Honduras telah dijangkiti COVIDd-19 dan daripada jumlah itu, lebih daripada 10,500 kematian dicatat akibat jangkitan berkenaan. -AFP

Media Baharu