fb fb fb fb fb

Dakwaan terlibat sindiket dadah, bekas Presiden Honduras serah diri

FOTO AFP


TEGUCIGALPA, HONDURAS, 16 Februari
-
Bekas presiden Honduras, Juan Orlando Hernandez menyerah diri kepada pihak polis selepas hakim negara itu mengeluarkan arahan penangkapannya Selasa lalu.

Menurut saksi, beliau diberi jaket kalis peluru serta digari polis ketika dia dilihat keluar dari rumahnya di ibu negara Tegucigalpa untuk dibawa ke mahkamah.

Hernandez dalam pada itu berikrar untuk memberi kerjasama dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

"Saya akan berdepan dengan situasi ini dan sedia untuk mempertahankan diri saya," ujarnya.

Isnin lalu, seorang pegawai Honduras mengesahkan, Washington telah meminta Hernandez diekstradisi, ketika ratusan ejen pasukan khas mengepung rumah bekas presiden itu.

Berikutan itu, mahkamah agung Honduras menugaskan hakim bagi meneliti permintaan Amerika Syarikat susulan dakwaan pendakwa raya negara Uncle Sam itu mengenai penglibatan bekas pemimpin negara itu dengan sindiket pengedar dadah.

Hernandez, 53 merupakan seorang peguam telah melepaskan jawatannya bulan lalu selepas lapan tahun bersamaan dua penggal memegang jawatan Presiden negara Amerika tengah itu. -AFP



Media Baharu