fb fb fb fb fb

Cubaan Korea Utara lancar peluru berpandu balistik antara benua gagal

(FOTO AFP)

SEOUL, 3 November - Cubaan Korea Utara melepaskan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) hari ini dipercayai, gagal - kata tentera Korea Selatan, dengan Washington menggesa semua negara supaya menguatkuasakan sekatan terhadap Pyongyang.

Ketua Turus Bersama Seoul berkata pelancaran ICBM nampaknya telah gagal semasa "pemisahan peringkat kedua".

“Julat peluru berpandu balistik jarak jauh adalah sekitar 760 kilometer, ketinggian 1,920 kilometer pada kelajuan 15 Mach,” kata tentera.

Ia juga mengesan apa yang "dipercayai sebagai dua peluru berpandu balistik jarak dekat yang dilepaskan sekitar 08.39 pagi dari Kaechon, wilayah Pyongan Selatan."

Tentera Korea Selatan "mengekalkan postur kesediaan penuh sambil bekerjasama rapat dengan AS dan mengukuhkan pengawasan dan kewaspadaan," katanya.

Secara keseluruhan, lebih 20 peluru berpandu dilepaskan termasuk satu yang mendarat berhampiran perairan wilayah Korea Selatan.

Amerika Syarikat mengecam pelancaran ICBM walaupun nampaknya gagal.

(Orang ramai menonton TV yang menyiarkan laporan berita mengenai Korea Utara yang
menembak peluru berpandu balistik di pantai timurnya, di Seoul, Korea Selatan/REUTERS)

“Tindakan ini menggariskan keperluan untuk semua negara melaksanakan sepenuhnya resolusi Majlis Keselamatan PBB berkaitan DPRK,” kata jurucakap Jabatan Negara AS, Ned Price, menggunakan nama rasmi Korea Utara iaitu Republik Rakyat Demokratik Korea.

Washington juga mengesahkan maklumat yang diberikan oleh tentera Korea Selatan, yang berkata sebelum ini ia telah mengesan pelancaran peluru berpandu balistik jarak jauh pada sekitar 7.40 pagi di kawasan Sunan di Pyongyang.

Pelancaran itu mendorong Korea Selatan dan Amerika Syarikat untuk melanjutkan latihan udara bersama mereka, latihan terbesar yang pernah dilakukan. -AFP

 

 

 

 

Media Baharu