(Kereta beratur untuk membeli minyak di stesen minyak di Havana, pada 27 Oktober 2022 / AFP)
HAVANA, 28 Oktober- Cuba berdepan kekurangan bahan api kali kedua dalam tempoh tujuh bulan, kata pihak berkuasa pada Khamis.
Situasi itu menyaksikan barisan panjang pengguna beratur di kebanyakan stesen minyak di Havana.
Ia berlaku sehari selepas Cuba-Petroleum Union (Cupet) yang dikendalikan kerajaan mengumumkan "defisit dalam ketersediaan bahan api" dan "kesukaran" penghantaran.
"Jika anda berjaya mencari petrol, maka anda boleh membuang banyak masa menunggu dalam barisan. Kerana barisan boleh melepasi seluruh blok," kata Michael Sanchez, seorang pemandu muda yang menunggu 10 jam untuk mendapatkan minyak petrol di Havana , memberitahu AFP.
Cupet menyalahkan defisit itu atas kesukaran logistik dan permintaan yang lebih tinggi daripada biasa, dalam satu kenyataan yang diterbitkan di Twitter pada Rabu.
Cuba yang diketuai komunis, menghadapi krisis ekonomi terburuk dalam hampir 30 tahun akibat kesan pandemik COVID-19 dan sekatan oleh Amerika Syarikat, mengalami masalah serupa pada Mac.
Krisis pengedaran semasa berlaku hampir tiga bulan selepas kebakaran besar di loji penyimpanan di wilayah Matanzas, yang menyebabkan 17 maut, memusnahkan empat tangki mega minyak mentah dan menyebabkan kerugian AS$100 juta hanya untuk bahan api yang terbakar, menurut pegawai data. -AFP
(Kereta beratur untuk membeli minyak di stesen minyak di Havana, pada 27 Oktober 2022 / AFP)