IOWA, 1 April- Dua puting beliung melanda Keota ketika ribut besar itu bergerak ke timur Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat.
Kejadian itu dirakam pengguna jalan raya yang berada berhampiran kawasan tersebut.
Sementara itu, kejadian puting beliung berasingan turut berlaku di Little Rock, Arkansas, semalam yang merosakkan bangunan dan menyebabkan ratusan penduduk cedera.
Bencana itu mengakibatkan bumbung dan dinding bangunan diterbangkan, pokok tumbang dan kenderaan terbalik.
(Video dua puting beliung melanda Keota dirakam oleh Joshua Kublnick dari dalam kenderaannya)
Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan mengesan lebih daripada 20 laporan puting beliung yang belum disahkan, kebanyakannya di Arkansas dan Iowa.
Puluhan juta rakyat AS di Great Plains, Midwest, termasuk bahagian selatan dan timur negara itu diberi amaran cuaca buruk yang berbahaya, dijangka berlaku dari petang Jumaat sehingga minggu depan.
Selain Arkansas, selatan Missouri, barat Kentucky dan barat Tennessee dianggap berisiko paling tinggi dilanda ribut petir yang boleh menghasilkan puting beliung ganas, hujan batu besar dan angin kencang.-REUTERS