fb fb fb fb fb

COVID-19: Korea Utara lapor kes harian sifar

(Korea Utara melaporkan tiada kes demam baharu buat kali pertama sejak wabak COVID-19/REUTERS)

SEOUL, 30 Julai- Korea Utara melaporkan "kes demam" sifar hari ini, kali pertama dalam tempoh lebih dua bulan sejak mengesahkan jangkitan COVID-19 pertamanya pada Mei.

"Tiada pesakit demam baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam dari petang Khamis," lapor Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) yang dikendalikan kerajaan.

Walaupun Pyongyang mengekalkan sekatan pergerakan yang ketat sejak permulaan wabak itu, pakar menjangkakan penularan meluas varian Omicron di negara jiran boleh menyelinap masuk pada bila-bila masa.

Korea Utara telah merekodkan hampir 4.8 juta jangkitan sejak akhir April, kata KCNA, sambil menambah "99.994%" daripada mereka telah pulih sepenuhnya dengan hanya 204 pesakit masih dirawat.

Disebabkan kekurangan kapasiti ujian, Korea Utara merujuk kes positif sebagai "pesakit demam" dan bukannya "pesakit COVID" dalam laporan kes.

"Negara ini mempunyai salah satu sistem penjagaan kesihatan terburuk di dunia, dengan hospital yang tidak lengkap, beberapa unit rawatan rapi, dan tiada ubat rawatan COVID-19 atau keupayaan ujian besar-besaran," kata pakar.

(Orang ramai menonton TV yang menyiarkan laporan berita mengenai wabak penyakit koronavirus
(COVID-19) di Korea Utara, di stesen kereta api di Seoul, Korea Selatan, 17 Mei 2022/REUTERS)

Pyongyang mengumumkan kes COVID pertamanya pada 12 Mei, mengaktifkan "sistem pencegahan wabak kecemasan maksimum".

Ia bagaimanapun tidak memberi vaksin kepada kira-kira 25 juta penduduknya, setelah menolak suntikan yang ditawarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Korea Selatan sebelum ini menawarkan untuk menghantar vaksin dan bantuan perubatan lain ke negara jirannya itu.

Belum ada jawapan rasmi diterima daripada Pyongyang. -AFP

Media Baharu