fb fb fb fb fb

COVID-19 kekal sebagai ancaman utama- WHO

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus/ AFP

GENEVA, 11 Januari- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa COVID-19 kekal sebagai ancaman utama dan dilaporkan hampir 10,000 kematian akibat virus itu pada Disember lalu.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata data daripada pelbagai sumber menunjukkan peningkatan penularan bulan lalu, didorong oleh perhimpunan sepanjang tempoh cuti Krismas dan oleh varian JN.1, yang kini paling kerap dilaporkan di seluruh dunia.

"Walaupun COVID-19 bukan lagi kecemasan kesihatan global, virus itu masih menular, berubah dan membunuh," katanya.

Selain hampir 10,000 kematian yang dilaporkan kepada WHO bulan lalu, terdapat peningkatan 42 peratus dalam kemasukan ke hospital dan peningkatan 62 peratus kemasukan ke unit rawatan rapi, berbanding November.

Bagaimanapun, angka itu berdasarkan data kurang daripada 50 negara, kebanyakannya di Eropah dan Amerika.

"Sudah pasti terdapat juga peningkatan di negara lain yang tidak dilaporkan.

"Sama seperti kerajaan dan individu mengambil langkah berjaga-jaga terhadap penyakit lain, kita semua perlu terus mengambil langkah berjaga-jaga terhadap COVID-19.

"Walaupun 10,000 kematian sebulan jauh lebih rendah daripada kemuncak pandemik, tahap kematian yang boleh dicegah ini tidak boleh diterima," katanya.

Justeru, Tedros menggesa kerajaan untuk mengekalkan pengawasan dan penjujukan virus serta memastikan akses kepada ujian, rawatan dan vaksin yang berpatutan dan boleh dipercayai.

"Dan kami terus menyeru individu untuk divaksinasi, untuk menguji, memakai pelitup muka di mana perlu dan memastikan ruang dalaman yang sesak mempunyai pengudaraan yang baik," katanya.

Tedros mengisytiharkan penamatan COVID-19 sebagai kecemasan kesihatan awam antarabangsa pada Mei 2023, lebih tiga tahun selepas virus itu mula-mula dikesan di Wuhan, China, pada akhir 2019. - AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI