fb fb fb fb fb

COVID-19: Jangkitan harian global melepasi 2 juta kes - AFP

FOTO AFP

 

PARIS, 9 Januari - Purata 2juta kes COVID-19 direkodkan di seluruh dunia antara 1 Januari lalu hingga semalam, lonjakan dua kali ganda dalam tempoh 10 hari, berdasarkan kiraan AFP hari ini.

Purata 2,106,118 kes harian dilaporkan dalam tempoh seminggu, sejurus melepasi nilai ambang sejuta kes antara 23 hingga 29 Disember lalu.

Jumlah kes global baharu meningkat 270% sejak varian Omicron ditemui di Afrika Selatan, pada akhir November lalu.

Namun, kematian berkaitan COVID-19 berada pada tahap terendah sejak Oktober 2020, dengan purata 6,237 kematian sehari direkodkan antara 1 Januari lalu hingga semalam.

Walaupun kajian awal menunjukkan Omicron menyebabkan gejala penyakit yang kurang teruk, pakar memberi amaran jumlah kes akibat strain itu masih boleh menjejaskan sistem kesihatan.

Negara di seluruh dunia sudah memperkenalkan semula sekatan dan meningkatkan program vaksinasi dalam usaha membendung penularan virus itu.

Eropah, Amerika Syarikat (AS) dan Kanada adalah tumpuan jangkitan coronavirus dunia, di mana dua wilayah itu masing-masing mewakili 49 dan 33 peratus kes COVID-19 global pada minggu lalu.

Kes COVID-19 minggu ini melonjak 47% di Eropah dan 76% di AS dan Kanada berbanding minggu sebelumnya.

Jangkitan COVID-19 juga meningkat 224% di Oceania, 148% di Amerika Latin dan Caribbean, Timur Tengah (116%) dan Asia (145%), dalam tempoh sama.

Jumlah kes baharu dilaporkan di Afrika kekal stabil tetapi berada pada tahap tertinggi di tempat lain, sejak permulaan wabak pada Mac 2020.

Angka itu adalah berdasarkan statistik rasmi dikeluarkan pihak berkuasa kesihatan negara.

Sebilangan besar kes kurang teruk atau tanpa gejala tidak dapat dikesan walaupun saringan dipergiatkan sejak permulaan wabak itu, malah dasar saringan juga berbeza antara negara.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan jumlah keseluruhan kes kematian mungkin dua hingga tiga kali lebih tinggi, selepas mengambil kira lebihan korban dikaitkan dengan COVID-19.

Media Baharu